Mendukung usaha memajukan pembangunan belia





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan





 

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Sabtu, 27 April. - Persidangan Pemimpin Belia dan Mesyuarat Pegawai Kanan Rantau Asia Komanwel, telah diadakan pada 22 hingga 25 April 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, bersama-sama Pegawai Kanan Komanwel dan Perwakilan lain yang bertanggungjawab dalam pembangunan belia.

 

Sidang Kemuncak itu merupakan inisiatif Sekretariat Komanwel, British Council, dan Commonwealth Youth Council.

 

Mesyuarat Pegawai Kanan Asia Komanwel, yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha, Perdana Menteri Program Belia, Pejabat Perdana Menteri, Kerajaan Pakistan, Dr Muhammad Ali Malik, bersidang selari dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Belia Rantau Asia Komanwel.

 

Objektif mesyuarat itu adalah untuk membincangkan perkembangan dan pencapaian kemajuan di rantau Asia mengenai Kenyataan Bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri Belia Komanwel Ke-10 (CYMM Ke-10), Deklarasi Marlborough House dan memberi peluang kepada Pegawai-pegawai Kanan untuk melibatkan diri dengan pemimpin belia dan mengambil maklum mengenai penubuhan Platform Belia Rantau Asia yang telah dipersetujui oleh Menteri-menteri Belia semasa Mesyuarat Menteri-menteri Belia Komanwel pada September 2023 yang lalu.

 

Semasa mesyuarat tersebut, Pegawai-pegawai Kanan mengambil maklum Kenyataan Pengerusi dan mengesahkan komitmen kolektif untuk menegakkan objektif yang digariskan dalam Kenyataan Bersama Menteri-menteri Belia Komanwel dan Deklarasi Marlborough House.

 

Mesyuarat juga bersetuju dengan keutamaan untuk memajukan lagi pembangunan belia di rantau ini melalui penyelarasan dan pelaksanaan di peringkat kebangsaan serta pengetahuan dan pertukaran rakyat-ke-rakyat dan kerjasama dalam kalangan negara anggota Komanwel.

 

Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum keputusan Persidangan Pemimpin Belia Rantau Asia Komanwel mengenai penubuhan Commonwealth Asia Youth Alliance (CAYA) yang bertujuan untuk memperkasa belia di rantau ini dan menyediakan platform untuk pemimpin belia di rantau Asia untuk menjalin rangkaian, membincangkan isu pembangunan belia, bekerjasama dan mengemukakan cadangan untuk pertimbangan di Mesyuarat Commonwealth Head of Government Meeting (CHOGM).

 

Hadir sama mengiringi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi, pegawai KKBS dan tiga orang perwakilan belia negara dan seorang ketua belia dari Majlis Belia Brunei.

 

Close